Thursday, December 11, 2008

Lima Emas Dari Kolam Renang



CAI LIN (kiri) dan Daniel bersama pingat emas yang dimenangi mereka pada hari pertama acara renang yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil semalam.


PUSAT Akuatik Nasional di Bukit Jalil menjadi lubuk emas kepada skuad renang negara.
Semalam, lima pingat emas berjaya dibawa pulang pada saingan hari pertama acara tersebut yang menawarkan 10 pingat emas.

Perenang negara turut mencipta kejutan dengan mencatatkan tiga rekod baru Sukan Universiti Asean (SUA) XIV.

Pingat emas pertama diraih oleh Khoo Cai Lin menerusi acara 100 meter gaya bebas wanita dengan catatan 58.16 saat.

Cai Lin turut memperbaharui rekod lama 59.08s yang dilakukan oleh atlet Thailand, Paritchat Wongpila pada temasya yang sama di Hanoi, Vietnam dua tahun lalu.

Selain itu, Daniel Bego turut memecah rekod kejohanan menerusi acara 100m gaya bebas lelaki setelah mencatatkan masa 51:.97s.

Raja renang negara itu, memperbaharui rekod yang dicatatkan oleh atlet Filipina, Kendrick Lim Uy (53:29s) pada SUA Hanoi, Vietnam 2006.

Atlet kelahiran Sarawak itu, turut meraih meraih pingat emas kedua bagi acara 200m kuak kupu-kupu lelaki setelah mencatatkan masa 2 minit 04.47s.

Rachel Lim Leik turut mencipta kejutan apabila memecah rekod kejohanan sekali gus meraih pingat emas untuk negara menerusi acara 100m kuak dada wanita setelah mencatatkan masa 1:17.87s.

Lim Leik memperbaharui rekod lama 1:17.44s yang dilakukan oleh Tassamol Petchsangroj dari Thailand dua tahun lalu.

Turut menyumbangkan pingat emas negara ialah Melvin Chua menerusi acara 400m rampaian individu lelaki dengan catatan masa 4:38.63s.

Selain itu, atlet renang negara turut meraih pingat gangsa menerusi Kevin Yeap bagi acara kuak lentang dengan catatan masa 29:.26s.

Pingat perak kedua dimenangi Marellyn Liew bagi acara 200m kuak kupu-kupu wanita setelah mencatatkan masa 2:27.19s.

Untuk rekod, kontinjen renang negara mensasarkan 18 pingat emas daripada 38 pingat emas yang ditawarkan.

Cai Lin berkata kejayaan meraih pingat emas pertama itu akan menjadi pencetus semangat bagi merealisasikan impiannya memburu empat pingat emas pada kejohanan kali ini.
Menurutnya, dia berpuas hati dengan catatan yang dilakukan meskipun gagal memperbaharui rekod peribadi 59:15s yang dilakukan pada Kejohanan Renang Kebangsaan di Bukit Jalil baru-baru ini.

"Saingan hari ini (semalam) adalah sebagai permulaan untuk beraksi lebih cemerlang esok (hari ini). Berdasarkan pencapaian tadi, saya harap dapat merealisasikan misi saya untuk memburu empat pingat emas," katanya.

No comments:

Post a Comment