Showing posts with label Utusan Online. Show all posts
Showing posts with label Utusan Online. Show all posts

Wednesday, December 19, 2012

Renang Penyumbang Terbesar


(dari kiri) Daniel Bego, James Chen, Clement David Leong serta Kevin Yeap memenangi pingat emas dalam acara 400 meter berganti-ganti gaya bebas lelaki di di Pusat Akuatik Kompleks Sukan Nasional, Vientiane, semalam. – BERNAMA
VIENTIANE – Malaysia masih mempertahankan kedudukan di tangga pertama setelah kontinjen negara menokok 10 emas lagi bagi menjadikan pungutan keseluruhan 49 emas pada Sukan Universiti ASEAN 2012 di sini, semalam.

Mengekori rapat kontinjen Malaysia ialah Vietnam yang berjaya merangkul 44 emas dan hanya dipisahkan dengan lima pingat emas untuk menghuni tangga kedua.

Penyumbang terbesar pingat emas negara, masih lagi dipegang oleh skuad renang apabila mereka sekali lagi menggegar Pusat Akuatik, Kompleks Sukan Nasional, semalam dengan enam emas, tiga perak dan satu gangsa.

Malah, kontinjen Malaysia turut menerima khabar gembira di kolam renang apabila perenang kebangsaan, Siow Yi Ting merangkul emas ke-45 iaitu sasaran kedua yang dipertaruhkan selepas mencapai 36 emas, kelmarin.

Kejayaan tersebut dilakar menerusi acara 200 meter kuak dada dan atlet berusia 27 tahun itu turut mencatat rekod temasya dengan catatan masa dua minit 34.88 saat, menewaskan peserta Indonesia, Margareta Kretapradani di tempat kedua, sementara gangsa menjadi milik Chontida Onnim dari Thailand.

Yi Ting sekali lagi meneruskan rentak cemerlang dan kali ini dia bergandingan dengan tiga lagi rakan senegara, Khoo Cai Lin, Leung Chii Lin dan Chui Lai Kwan untuk memenangi emas dalam acara gaya bebas 400 meter berganti-ganti.

Gandingan Malaysia itu menyingkirkan saingan dari Filipina yang meraih perak dan Thailand dengan pingat gangsa dengan catatan renangan 4:00.49s.

Pasukan 400 meter gaya bebas lelaki negara yang dibarisi perenang James Chen, Kevin Yeap, Clement David Leong dan Daniel Bego turut meraih emas dengan catatan 3:30.93s meninggalkan Thailand dan Singapura untuk perak serta gangsa.

Emas keempat dilakar menerusi Khoo Cai Lin yang mempamerkan renangan konsisten untuk merangkul emas dalam acara 400 meter gaya bebas dengan catatan masa 4:22.84s yang juga merupakan rekod baru temasya. Perenang Indonesia, Ressa Kania Dewi dan Chawiwan Khammee masing-masing meraih pingat perak serta gangsa untuk acara tersebut.

Kevin Yeap memenangi emas kelima dengan penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) itu mencipta masa terpantas 4:03.94s untuk menewaskan perenang Thailand, Siwat Matangkapong di kedudukan kedua dan tempat ketiga menjadi milik, Putera Muhammad Randa dari Indonesia.

Penguasaan emas diteruskan di kolam renang dan kali ini tiba giliran Chan Kah Yan menggondol emas keenam setelah dia mengetepikan cabaran rakan senegara, Chui Lai Kwan dengan catatan rekod temasya 1:06.22s. Perenang Filipina, Ma. Claire Adorna hanya berpuas hati dengan tempat ketiga.

Selain Lai Kwan, dua lagi pemenang pingat perak ialah Yap See Tuan (200 meter kuak dada) dan Hii Siew Siew (50 meter kuak kupu-kupu) sementara, Leung Chii Lin meraih gangsa untuk acara 50 meter kuak kupu-kupu.

Sementara itu, dalam wushu, pasukan negara menyumbang satu emas menerusi Tan Jia Guan yang menyertai acara Sanshou lelaki 70 kilogram (kg) dan empat gangsa disumbangkan oleh Foong Hew Mun (wanita 48kg), Tan Sze Cia (lelaki 56 kg), Ooi Lih Yang (lelaki 65kg) dan Ong Ghee Leong (lelaki 65 kg).

- UTUSAN

Friday, November 2, 2012

Zyanne Berenang Sehebat Menari Dalam Air


Zyanne Lee yang mewakili UPM menghadiahkan sebutir pingat emas dan perak pada hari ketiga acara renang SUKIPT 2012 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, semalam.

KUALA LUMPUR - Turun ke kolam untuk berenang adalah rutin sehariannya, namun sebagai atlet renang berirama kebangsaan, dia berlatih 'menari' dalam air, bukan untuk berlumba.

Namun, pemenang lima pingat emas Sukan SEA Indonesia tahun lalu, Zyanne Lee Zhien Huey, 23, semalam membuktikan dia juga mampu bersaing dari segi kepantasan apabila memungut sebutir emas dan perak pada hari ketiga Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, semalam.

Zyanne yang merangkul gangsa acara 800m gaya bebas ketika hari pembukaan Selasa lalu, menambah koleksi pingat dengan meraih perak 400m gaya bebas, tewas kepada rakan sepasukan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang juga bekas perenang negara, Chui Lai Kwan.

Dia bagaimanapun mengecapi sebutir emas jua apabila kombinasi bersama Lai Kuan, serta Tan May Mei dan Yeo Pei Ling berjaya menjuarai acara 4x100m gaya bebas, mengatasi pencabar terdekat Universiti Malaya (UM) yang diterajui juga oleh bekas perenang kebangsaan, Leung Chii Lin dengan kelebihan dua saat.

"Gembira untuk memperoleh satu emas pada acara berganti-ganti tadi yang merupakan acara akhir saya. Saya hanya mengambil bahagian dalam tiga acara untuk temasya ini," kata Zyanne yang sedang membuat membuat persiapan rapi menghadapi Kejohanan Renang Asia di Dubai, 15-25 November ini.

Zyanne akan berganding dengan adiknya, Zylanne Lee Yhing Huey, 20, manakala Katrina Ann Hadi, 22, bertindak sebagai perenang simpanan.

Ditanya apakah dirinya biasa dengan perlumbaan renang kompetitif, jelas Zyanne: "Tidak. Sejak dari permulaan lagi saya tidak terlibat aktif dalam perlumbaan renang.

"Tapi dalam latihan harian sebagai seorang atlet renang berirama, sudah memadailah untuk saya memenangi pingat dalam temasya bertahap seperti SUKIPT. Sebelum ini saya pun ada mewakili UPM dalam temasya antara universiti seperti Masum.

"Hanya apabila tiba kejohanan seperti inilah saya berlumba. Selain daripada itu, tidak."

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20121102/su_09/Zyanne-berenang-sehebat-menari-dalam-air#ixzz2B1rEfL2D
© Utusan Melayu (M) Bhd

Saturday, January 14, 2012

Katrina Baca Lebih 1,000 Buku


Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my
KATRINA Ann Abdul Hadi menunjukkan koleksi pingat yang dimenanginya dan keluarga.
SELEPAS meraih emas Sukan SEA XXVI bulan lalu dalam acara renang berirama nama Katrina Ann Abdul Hadi sering menjadi bualan peminat sukan tanah air.

Malah ada juga yang kagum dengan pencapaian diraih atlet tersebut bersama pasangannya, Shareen Hui hingga mampu membuka mata negara-negara luar terhadap sukan renang berirama Malaysia.

Barangkali tidak ramai mengetahui atlet yang ramah dan murah dengan senyuman itu pernah aktif dalam gimnastik dan olahraga (acara pecut), sebelum bergelar ratu renang berirama.

Namun, dalam semua sukan tersebut renang berirama tetap menjadi sukan kesayangannya, selain menganggap acara yang disertai bukan semudah yang dilihat.

Memiliki perwatakan yang ceria Katrina, 19, bukanlah individu yang gemar menghabiskan masa dengan aktiviti tidak berfaedah, sebaliknya setiap masa lapangnya adalah dengan mentelaah buku-buku pengetahuan atau novel yang bertemakan fiksyen.

Menghabiskan buku yang mempunyai jumlah lebih 1,000 muka surat dalam masa sehari bukan sesuatu yang janggal buat Katrina kerana membaca dalam jumlah muka surat yang tebal sudah menjadi kebiasaan buatnya sejak kecil.

"Ketika latihan juga saya akan membawa buku untuk dibaca dan kawan-kawan juga dah biasa dengan cara saya ini.

"Membaca adalah sesuatu yang memberikan kepuasan kepada saya tambahan pula bila dapat membaca sambil berbaring.

"Memang banyak masa saya adalah dengan membaca buku terutama buku-buku fiksyen. Semuanya saya akan baca dan habiskan dalam sehari jika tiada gangguan.

"Jika nak dikira sejak di bangku sekolah rendah hingga kini saya telah membaca lebih 1,000 buku dan saya memang suka membaca," kata Katrina.

Kata Katrina, nikmat membaca buku akan bertambah apabila berupaya menggambarkan situasi yang tertulis dalam setiap muka surat, sekali gus membuatkan keinginan untuk terus mengetahui penamat sesuatu bahan bacaan tersebut.

"Ketika di sekolah rendah dahulu ada Program Bacaan Nilam dan saya sering menerima anugerah melalui program tersebut kerana terlalu banyak membaca sehingga tiada ruang untuk mengisi buku laporan yang disediakan.

"Di rumah saya ada koleksi buku yang amat banyak dan di situ ada beberapa buku yang saya minat kerana mempunyai jalan cerita menarik," kata Katrina.

Bagi yang minat membaca buku fiksyen yang telah diadaptasikan ke filem Katrina ada pesanan buat anda.

"Kalau mahu baca buku-buku sebegini seeloknya tengok dahulu filem tersebut dan kemudian baru baca buku tersebut kerana kepuasan akan lebih dirasai bila berbuat demikian," jelas Katrina.

Pada tahun depan kejohanan yang bakal menjadi tumpuannya adalah Kejohanan Kelayakan Sukan Olimpik 2012 yang dijangka berlangsung pada April ini.

Wednesday, January 4, 2012

Pandelela Buru Dua Lagi Tiket Ke London

Oleh TAN MING WAI
tan.mingwai@utusan.com.my
Bryan Nickson Lomas (kiri) dan Pandelela Rinong menjalani rutin latihan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR - Ratu terjun negara, Pandelela Rinong akan menggalas tugasan berganda pada Piala Dunia Terjun FINA di London bulan depan.

Selain memastikan tiket Olimpik dalam acara 10 meter platform seirama bersama Leong Mun Yee yang mana mereka berdua adalah pasangan No. 3 dunia berada dalam genggaman, dia juga dipertanggungjawabkan untuk memburu slot 3m papan anjal individu.

Papan anjal bukanlah disiplin kegemaran Pandelela, namun ketua jurulatih, Yang Zhuliang percaya anak didiknya itu mampu mencapainya pada saingan yang menjadi pentas kelayakan terakhir Olimpik.

"Lela (Pandelela) sudah layak dalam acara 10m platform individu menerusi Kejohanan Dunia di Shanghai tahun lalu, jadi dia mempunyai ruang untuk berlatih memantapkan terjunan bagi disiplin papan anjal.

"Saya fikir ada baiknya jika dia boleh membantu Malaysia meraih kuota tambahan 3m papan anjal individu. Kita mahukan sebanyak kuota yang mungkin untuk menghantar perwakilan terbesar ke Olimpik nanti," katanya yang ditemui semalam.

Penyertaan Malaysia dalam acara tersebut selama ini diwakili sama ada Cheong Jun Hoong, Wendy Ng Yan Yee dan Mun Yee.

Malaysia mengintai dua slot maksimum acara ini di Piala Dunia, namun hanya pemenang pingat emas Sukan SEA XXVI Indonesia, Jun Hoong dilihat lebih berpeluang berbanding rakan sepasukan Wendy berdasarkan prestasi semasa.

Sementara Mun Yee pula tidak akan diturunkan dalam acara individu kerana Zhuliang inginkan jaguh veteran itu memfokuskan sepenuhnya dalam acara platform seirama yang gandingannya dengan Pandelela dilihat paling berpotensi untuk mencipta kejutan menaiki podium di Olimpik.

Pandelela, biarpun jarang beraksi dalam acara papan anjal sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dia sememangnya menjadi sandaran terbaik.

Pada temasya Olimpik Remaja Singapura 2010, Pandelela berjaya membawa pulang dua perak dan salah satunya ialah acara 3m papan anjal indvidu.

Sebanyak 12 slot acara terbabit telah pun diisi pada Kejohanan Dunia Shanghai dan dua lagi dimiliki juara Ocenia dan Eropah, justeru masih ada baki 20 tiket untuk direbut bulan depan.

Turut berpeluang cerah layak ke temasya London 2012 adalah Traisy Vivien Tukiet (10m platform wanita individu) dan Ooi Tze Liang (10m platform lelaki individu).

Persediaan Skuad Terjun Terencat, Lewat Jalani Latihan Di China

KUALA LUMPUR - Persiapan skuad terjun negara menjelang Olimpik London terencat berikutan kelewatan menjalani latihan di China.

Skuad bimbingan Yang Zhuliang sepatutnya mula menjalani latihan intensif di negara tembok besar itu sejak bulan lalu, namun sehingga hari ini mereka masih lagi menanti lampu hijau.

Zhuliang menegaskan betapa penting anak-anak didiknya perlu berlatih di China dengan alasan kemudahan yang terdapat di Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil tidak cukup sempurna.

"Kami sepatutnya pergi ke China seawal bulan lepas, tetapi kami diminta menunggu kerana berlaku kekangan bajet.

"Masalahnya sampai hari ini, kami masih tidak pasti bila kami boleh berlepas.

"Masa sudah suntuk untuk kami memandangkan Piala Dunia akan berlangsung pada penghujung bulan Februari," ujarnya.

Jurulatih China itu menambah, skuad terjun tidak perlu kerap berlatih di China seandainya kemudahan sedia ada berada pada keadaan terbaik dan mengikut piawaian.

Zhuliang mengambil contoh keadaan papan anjal di Pusat Akuatik Nasional yang agak usang dan berbahaya, manakala platform yang terlalu kecil untuk latihan terjun seirama dilakukan.

"Untuk Pandelela (Rinong) dan (Leong) Mun Yee mencapai persembahan seperti ini biarpun berlatih dalam keadaan serba kurang sudah boleh membanggakan.

"Mereka akan mampu meningkatkan prestasi ke satu lagi tahap jika berkesempatan berlatih dengan lebih sempurna," kata Zhuliang.

Menambah kebimbangan Zhuliang ialah keadaan trampolin yang menjadi tempat anak didiknya melakukan latihan lompatan.

Empat daripada enam trampolin yang disediakan di gimanasium sudah koyak dan kerosakan itu hanya 'ditangani' dengan tampalan.

"Ia membahayakan dan tidak sesuai lagi digunakan. Saya tidak tahu berapa lama tampalan itu bertahan, saya khuatir ada yang cedera kelak.

"Saya berharap ia ditukar secepat mungkin.

"Sukan terjun disenarai dalam program Road to London dan menjadi prospek pingat... saya percaya anak buah saya telah memberikan segalanya, terpulang kepada Majlis Sukan Negara (MSN)," keluhnya.

Wednesday, December 21, 2011

Layak Ke Kejohanan Dunia

Oleh TAN MING WAI
tan.mingwai@utusan.com.my
AKSI Leong Mun Yee Leong (bawah) dan Pandelela Rinong pada Kejohanan Dunia di Shanghai Julai lalu. - AFP
KUALA LUMPUR -Berkedudukan ranking ketiga dunia, Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee akan sekali lagi meraih hak untuk beraksi pada pertandingan berprestij Siri Terjun Dunia Persekutuan Akuatik Antarabangsa (FINA) tahun depan.

Siri Terjun Dunia yang mula dianjurkan FINA sejak 2007 merupakan pertandingan jemputan yang dikhaskan hanya untuk 10 penerjun terbaik dunia dalam setiap disiplin.

Ini sekali gus melayakkan Pandelela dan Mun Yee yang menghuni ranking ketiga acara 10m platform seirama, untuk berentap dengan sekumpulan penerjun elit dunia. Ia baik untuk mengukur sejauh mana peluang mereka meraih pingat pada Olimpik nanti.

Pandelela juga dijangka menerima jemputan untuk beraksi dalam acara 10m platform individu kerana pemenang pingat emas Sukan Komanwel berada pada ranking ketiga dunia, di belakang dua jaguh sensasi China, Hu Yadan dan Chen Ruolin.

Sema seperti tahun ini, Siri Terjun Dunia 2012 turut menampilkan empat pusingan bermula di Dubai pada 16-17 Mac, diikuti Beijing (Mac 23-24), Moscow (13-14 April) dan Tijuana, Mexico (20-21 April).

Gandingan Pandelela-Mun Yee sememangnya kian menjadi sejak mereka berdua melakar kejutan memungut gangsa di Kejohanan Dunia Rome pada 2009.

Kejayaan Pandelela-Mun Yee meraih naib juara pada pusingan pertama Siri Terjun Dunia di Beijing, Februari lalu adalah bukti terbaik mereka sebenarnya setanding dengan lain-lain pencabar kecuali China yang jelas berada di kelas tersendiri.

Kejayaan paling manis adalah apabila mereka mencipta sejarah menjuarai Grand Prix Terbuka Jerman di Rostock pada Mei.

Biarpun masih belum lagi mengesahkan tiket Olimpik selepas sekadar menamatkan saingan di tempat kelima (tiga pasangan terbaik layak) pada Kejohanan Dunia Shanghai pada Julai, pasangan harapan negara diramal tidak menghadapi masalah untuk layak menerusi Piala Dunia di London Februari depan.

Thursday, December 1, 2011

Tiket Olimpik Dalam Minda Traisy

Aksi Traisy Vivien (kanan) dan gandingannya Leong Mun Yee dalam acara terjun serentak 10m platform pada Sukan SEA XXVI di Palembang, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR - Penerjun muda kebangsaan, Traisy Vivien Tukiet sedang mempelajari gaya terjunan baru dalam usaha memantapkan dirinya menjelang saingan Piala Dunia Terjun FINA di London, Februari depan.

Piala Dunia akan menjadi medan kelayakkan terakhir untuk Olimpik 2012 dan Traisy, 17, tidak sanggup melepaskan peluang keemasan untuk meraih tiket beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu.

Pada Kejohanan Akuatik Dunia di Shanghai, Julai lalu, agak mendukacitakan buat Traisy apabila menamatkan saingan acara 10m platform individu wanita di ranking ke-14, menyaksikan dia terlepas tiket awal Olimpik yang disediakan hanya untuk 12 penerjun terbaik.

Ratu terjun kita, Pandelela Rinong mengesahkan slot kelayakkan ketika itu selepas meraih tempat kelima acara yang sama.

"Memang agak kecewa pada masa itu saya gagal mengiringi Lela (Pandelela), hanya dua ranking memisahkan saya dengan tiket Olimpik.

"Namun saya sedar catatan markah terjunan masih lagi kurang memberangsangkan. Jadi untuk mencerahkan peluang saya pada Piala Dunia nanti, saya sedang gigih berlatih gayaarmstand.

"Agak sukar, tetapi saya harap dapat menguasainya secepat mungkin. Sekiranya sempurna kelak, saya yakin dapat memungut mata tinggi," katanya.

Sebenarnya Traisy sedar peluang dirinya layak beraksi di Pusat Akuatik London tahun depan adalah sangat cerah.

Dengan 12 penerjun terbaik dunia telah pun diketahui, 18 lagi tiket akan ditawarkan untuk setiap acara individu pada Piala Dunia nanti.

Mengambil kira prestasi Traisy sepanjang tahun ini yang termasuk merangkul pingat emas Sukan SEA dalam acara 10m platform seirama wanita bersama Leong Mun Yee baru-baru ini, dia sememangnya mempunyai peluang terbaik.

Pada Sukan Asia Guangzhou dan Sukan Komanwel New Delhi, Traisy layak ke final dan menamatkan saingan di tempat kesembilan untuk kedua-dua temasya tersebut.

Gadis kelahiran Sarawak itu juga mencatat dua keputusan memberangsangkan pada saingan GP dunia iaitu tempat ke-12 di GP Montreal, Kanada dan kelapan di GP Rostock, Jerman, membolehkan dia menghuni ranking ke-16 dunia.

Traisy juga sedar dia yang kini bergelar penerjun platform wanita nombor dua negara selepas Pandelela, mungkin diberi tanggungjawab baru menggantikan Mun Yee yang dijangka bersara tidak lama lagi, untuk digandingkan dengan Pandelela dalam acara seirama.

Wednesday, November 30, 2011

Nasib Berbeza Jasmine, Ling Kar

Oleh TAN MING WAI
tan.mingwai@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Penerjun muda negara, Jasmine Lai Pui Yee mengakui dia berasa kecewa dinafikan peluang untuk membuat penampilan sulung pada Sukan SEA Indonesia baru-baru ini.

Jasmine, 16, disenaraikan dalam skuad 11 penerjun yang menyapu tujuh daripada lapan emas dipertandingkan, namun pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu menjadi satu-satunya penerjun yang tidak diturunkan.

Jasmine sepatutnya turun beraksi dalam acara 10m papan anjal seirama bersama rakan segandingan, Kam Ling Kar.

Namun keputusan itu diubah pada saat akhir menyaksikan pasangan muda tersebut digantikan oleh Leong Mun Yee dan Traisy Vivien Tukiet.

"Memang saya berasa sedih selepas mengetahui saya tidak akan diturunkan.

"Saya datang ke Palembang dengan semangat berkobar-kobar dengan sasaran untuk memungut pingat pertama Sukan SEA, namun ia berakhir dengan saya sekadar menjadi penonton.

"Tetapi saya akur dengan keputusan jurulatih dan dia mesti ada sebab tersendiri untuk berbuat demikian," kata Jasmine yang bertekad berusaha lebih gigih untuk membuktikan kemampuannya pada pertandingan akan datang.

Berbeza nasib dengan kawan karibnya, Ling Kar, bagaimanapun berjaya merealisasikan hasratnya untuk membuat kemunculan pertama Sukan SEA yang mana dia berjaya meraih perak bagi acara 10m platform individu wanita.

"Ia satu pengalaman baru bagi saya dan kejayaan membawa pulang pingat perak (tewas kepada Pandelela Rinong) menjadikan ia lebih sempurna," katanya.

Kejayaan pada Sukan SEA, kata gadis kelahiran Ipoh yang juga berusia 16 tahun itu, mahu dijadikan sebagai batu loncatan untuk kariernya selepas ini.

"Saya masih tidak cukup bagus. Terjunan saya masih berada pada darjah kesukaran (DD) rendah dan saya harus menumpukan latihan terjunan baru dengan DD lebih tinggi jika ingin pergi jauh dalam bidang ini.

"Saya bercita-cita menjadi sehebat dua penerjun sensasi China, Guo Jingjing dan Wu Minxia yang saya masih belum berkesempatan berjumpa lagi mereka," katanya dalam nada merendah diri.

Jasmine dan Ling Kar merupakan permata baru yang sedang digilap Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) sebagai pengganti kepada penerjun veteran seperti Mun Yee yang dijangka bersara dalam tempoh terdekat.

Pada peringkat remaja, mereka berdua telah pun membuktikan kemampuan masing-masing, misalnya Kejohanan Kumpulan Umur Asia pada Oktober lalu apabila mereka membawa pulang tiga pingat emas.

Terdahulu pada Ogos lalu, mereka juga membolot tiga daripada enam emas yang dipungut negara pada kejohanan jemputan Remaja Asia- Pasifik.