Showing posts with label Swimathon 2010. Show all posts
Showing posts with label Swimathon 2010. Show all posts

Friday, April 23, 2010

Perenang Kebangsaan Ungguli Kejohanan


KUALA TERENGGANU - Dua perenang kebangsaan mengungguli Kejohanan Kapas-Marang International Swimathon 2010 di Pantai Peranginan Kelulut, Marang.

Perenang Perak, Kevin Yeap Soon Choy muncul juara keseluruhan kategori lelaki selepas menjadi peserta pertama yang berjaya menamatkan saingan pada jarak 6.5 kilometer dengan catatan masa satu jam 33 minit 33 saat.

Sementara, perenang wanita dari Sabah, Leung Chii Ling dinobatkan juara keseluruhan wanita dengan mencatat masa satu jam 33 minit 35 saat. Kedua-dua perenang berkenaan adalah pemegang pingat perak pada Sukan SEA di Laos, Vietnam, tahun lalu.

Seorang lagi perenang wanita kebangsaan, Lai Mei Juan sekadar menduduki tangga kedua keseluruhan dengan catatan masa satu jam 37 minit 13 saat.

Kevin berkata, walaupun baru pertama kali menyertai pertandingan itu, dia yakin mampu memenangi kategori 20 hingga 34 tahun tetapi tidak menyangka muncul juara keseluruhan. “Saya berdepan saingan sengit dan keadaan ini hampir melemahkan semangat saya merangkul kejayaan. “Namun, dengan semangat berkobar-kobar, saya cuba menamatkan saingan dan menjadi peserta pertama sampai ke garisan penamat,” katanya.

Menurutnya, kejayaan itu adalah petunjuk terbaik buatnya mewakili negara pada sesi kelayakan ke Sukan Komanwel kelak. “Saya harap kejayaan ini turut membakar semangat saya beraksi cemerlang. “Sebenarnya, berenang di laut berbeza dengan kolam renang kerana ia banyak menguji keupayaan fizikal dan mental berikutan terpaksa mengharungi ombak besar serta arus deras,” katanya.

Sementara itu, Mei Juan pula berkata, pada mulanya dia menyertai pertandingan hanya sekadar suka-suka kerana tidak mempunyai pengalaman dalam acara berkenaan. “Saya hanya menjangka memenangi kategori wanita 20 tahun ke atas tetapi dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

“Pencapaian ini memberi saya peluang membuat persiapan awal menghadapi Sukan Komanwel,” katanya.

Seramai 300 peserta daripada 12 negara mengambil bahagian pada perlumbaan berkenaan, antaranya Australia, Kanada, Denmark, Jepun, Jerman, United Kingdom, Vietnam dan Netherlands. Sebanyak 10 kategori dipertandingkan dengan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM44,500.

Kevin, Chii Lin Hebat




LEONG CHII LIN (kanan) dan Kevin Yeap (kiri) dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan kategori wanita dan lelaki pada Cabaran Kapas-Marang Swimathon Antarabangsa 2010.


STATUS selaku perenang negara memberi kelebihan kepada Kevin Yeap dan Leong Chii Lin untuk muncul juara keseluruhan pada Cabaran Kapas-Marang International Swimathon 2010 di Pantai Kelulut, Marang semalam.

Kevin yang meraih pingat perak dalam acara 1500 meter gaya bebas pada Sukan SEA di Laos tahun lalu muncul juara keseluruhan kategori lelaki.

Perenang kelahiran Perak itu berjaya menamatkan cabaran sejauh 6.5 kilometer dari Pulau Kapas ke Pantai Kelulut, Marang dengan masa satu jam 33 minit dan 33 saat.

Selain muncul juara keseluruhan, Kevin turut menguasai kategori lelaki (20-34 tahun), sekali gus membolehkannya membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM3,000.

"Ini adalah penyertaan pertama saya pada kejohanan swimathon dan saya akui cabaran ini cukup sukar terutamanya apabila kami perlu berdepan dengan arus ombak yang deras.
"Bagaimanapun, pengalaman beraksi pada kejohanan antarabangsa selain latihan yang tersusun memberi kelebihan kepada saya," katanya yang bakal membawa cabaran negara pada temasya Sukan Komanwel di India hujung tahun ini.

Sementara itu, perenang kelahiran Sabah, Chii Lin berjaya mencipta kejutan apabila muncul juara keseluruhan kategori wanita.

Chii Lin yang beraksi dalam acara 50 dan 100 meter gaya bebas dalam skuad renang kebangsaan berjaya menewaskan dua pencabar utamanya, Lai Mei Juan dan seorang lagi perenang negara, Khoo Chai Lin.

Dia berjaya menamatkan cabaran itu dengan masa 1:33.35s diikuti Mei Juan (1:37.13s) dan Chai Lin yang merekodkan masa 1:38.58s.

"Memang banyak bezanya apabila berenang di kolam biasa dengan berenang di lautan. Kami terpaksa melalui perjalanan yang jauh dan lebih perit lagi apabila mata saya kerap sakit kerana dimasuki air masin," jelasnya.

Chii Lin yang membantu kuartet negara meraih gangsa dalam acara 4x200m gaya bebas pada Sukan SEA Laos turut mengungguli kategori remaja wanita (12-19 tahun).

Acara lelaki (35-49 tahun) menjadi milik peserta dari United Kingdom, Anrew Tebbutt dengan masa 1:34.23s diikuti dua peserta tempatan, Yau Yee Ming dan Kohing Antak.

Nor Adli Safwan pula muncul juara kategori remaja lelaki (12-19 tahun) dengan masa 1:33.34 manakala NorShaniran Norsam dan Tan Aik Jun masing-masing berpuas hati di tempat kedua dan ketiga.

Kategori veteran lelaki (50 tahun ke atas) dikuasai peserta luar dengan Kojo Okano dari Jepun muncul juara diikuti Han Ah Wah (Malaysia) dan Eduard Nowak dari Jerman.

Cabaran Kapas-Marang International Swimathon 2010 merupakan acara tahunan yang dianjurkan kerajaan negeri Terengganu dan dikendalikan oleh Trisports Events Management Sdn. Bhd.