

KUALA LUMPUR – Penerjun negara, Leong Mun Yee tidak hilang fokus untuk menghadapi Kejohanan Terbuka Sepanyol bulan depan meskipun terpaksa bertukar gandingan dalam acara platform.
Pasangan asal Mun Yee, Pandelela Rinong (gambar), terpaksa direhatkan dari kejohanan tersebut dari 16 hingga 18 Julai ini selepas mengalami keretakan pada jari kakinya semasa menjalani latihan minggu lepas.
Ekoran itu, Mun Yee akan berpasangan dengan Traisy Vivien Tukiet.
“Memang sukar untuk mencari keserasian untuk kejohanan terdekat ini, tetapi saya anggap perkara ini sebagai cabaran,” katanya di sini, semalam.
Bagaimanapun, katanya, pertukaran pasangan bukan perkara baru bagi dirinya dalam acara platform mahupun acara papan anjal.
Gandingan Mun Yee dan Pandelela sebelum ini meraih pingat gangsa dalam acara terjun berpasangan 10m platform pada Kejohanan Dunia di Rome pada Julai lepas.
Mun Yee berkata, dia tidak meletakkan sebarang sasaran pingat pada kejohanan di Sepanyol kecuali untuk memperbaiki prestasi peribadinya.
Matlamat beliau pada tahun ini ialah untuk mencari pengalaman dalam kejohanan antarabangsa sebagai persediaan untuk menghadapi Sukan Komanwel di New Delhi, India pada Oktober dan Sukan Asia di Guangzhou, China, November ini.
“Sasaran saya untuk merangkul pingat tanpa mengira warna ada Sukan Asia nanti. Bagi Sukan Komanwel saya tidak menaruh harapan tinggi kerana terdapat saingan sengit dari penerjun berkelas dunia seperti dari Australia dan Britain,” katanya.
Mun Yee kini menjalani latihan intensif bersama jurulatih dari China, Yang Zhu Liang di Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil dan Pusat Akuatik Darul Ehsan di Cheras. – Bernama
No comments:
Post a Comment