Sunday, July 14, 2013

Skuad Terjun Lelaki Wajar Diberi Masa

JURULATIH terjun kebangsaan, Huang Qiang mengakui wujudnya kelemahan ketara dalam barisan penerjun lelaki sedia ada, namun beliau cukup optimis bahawa segala kekurangan yang timbul akan diatasi dalam tempoh setahun dua lagi.

Persaraan Yeoh Ken Nee selepas Olimpik London dan keputusan mengejut Bryan Nickson Lomas meninggalkan pasukan pada Mei lalu bermakna kini hanya tinggal tiga penerjun senior, iaitu Ooi Tze Liang, Ahmad Amsyar Azman dan Chew Yi Wei untuk menggalas cabaran negara dalam tempoh terdekat ini.

Namun cukup jelas bahawa mereka bertiga masih belum cukup bagus untuk bersaing di peringkat dunia.

Persembahan mereka yang kurang menyakinkan sepanjang kempen Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Kazan yang berakhir kelmarin, adalah bukti terbaik.

Bagaimanapun, Huang Qiang tetap menegaskan yang tiga anak buahnya itu berada pada landasan tepat untuk mengisi kekosongan besar yang ditinggalkan Bryan dan Ken Nee kelak.

“Bagi saya, aksi Tze Liang, Amsyar dan Yi Wei di Kazan tidaklah seteruk mana, cuma lawan yang mereka hadapi adalah jauh terlalu handal,” katanya.

“Penerjun China, Rusia dan Mexico yang bertanding di Universiade adalah penerjun utama pasukan kebangsaan masing-masing.

“Bintang tuan rumah, Ilya Zakharov seperti yang diketahui umum adalah juara Olimpik, jadi sudah tentu tidak adil untuk membandingkan penerjun kita dengannya.

“Kita perlu terima hakikat bahawa pasukan lelaki sedang melalui tempoh peralihan selepas persaraan Ken Nee dan Bryan. Berilah mereka satu atau dua tahun lagi, saya yakin mereka mampu mencapai tahap yang diingini.

“Kita harus meletakkan kepercayaan terhadap tiga penerjun ini kerana kita sememangnya tiada pilihan buat masa ini.

“Di China, kalau seorang gagal, 10 lagi pengganti berwibawa yang berupaya menjadi juara dunia dan Olimpik sedia mengambil-alih bila-bila masa sahaja, malangnya kita tidak punyai kumpulan bakat sebesar China.”
Ooi Tze Liang dan Chew Yi Wei

Huang Qiang turut menjelaskan bahawa perancangan pembangunan bakat muda yang kurang teratur beberapa tahun lalu telah membawa kepada masalah sekarang.

Terangnya: “Tze Liang dan rakan-rakan telah terpinggir sewaktu mereka masih merupakan penerjun pelapis. Ketika itu, kita terlalu menumpukan kepada persiapan kumpulan penerjun elit sahaja ekoran masalah bajet.

“Dahulunya, apabila tiba sesuatu kejohanan besar, sekumpulan kecil penerjun elit sahaja akan berkesempatan ke China untuk berlatih manakala selainnya ditinggalkan di tanahair.

“Tetapi sekarang seluruh skuad tidak kira elit mahupun pelapis, kesemuanya dibawa bersama ke China untuk latihan pusat. Ini memberi impak positif dalam latihan penerjun-penerjun muda seperti yang kita boleh lihat hasilnya sekarang daripada peningkatan Nur Dhabitah (Sabri) dan (Loh) Zhiayi.”

Dua lagi anggota skuad terjun lelaki ialah Muhd Danial Sabri, 15, dan Muhd Nazreen Abdullah, 14.

- See more at: http://www.sports247.my/2013/07/skuad-terjun-lelaki-wajar-diberi-masa/#sthash.RyBiuLti.dpuf

No comments:

Post a Comment