![]() |
PERSEDIAAN SUKMA: (Dari kanan) Frederick, Lee, Francis dan Muktalib mendengar taklimat daripada wakil persatuan sukan berhubung keperluan dan persiapan atlet masing-masing, semalam. |
KUCHING: Sarawak akan mengambil bahagian dalam 22 daripada 24 jenis sukan yang dipertandingkan pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 yang akan diadakan di Pahang dari 4 hingga 14 Julai 2012.
Acara tersebut ialah akuatik, angkat berat, badminton, berbasikal, bola sepak, gimnastik, hoki, karate, lawn bowl, memanah, menembak, olahraga, pencak silat, sepak takraw, skuasy, taekwondo, tenpin bowling, wushu, bola tampar, golf, petanque dan tinju.
Dua jenis sukan yang tidak disertai ialah perahu layar dan ekuestrian.
Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin berkata, bagi persediaan tersebut, Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) kini memberikan fokus terhadap pembentukan pasukan dan perkembangan atlet.
Tambah beliau, persatuan-persatuan sukan terlibat juga sedang giat menjalankan pemilihan atlet bagi penubuhan pasukan yang mantap.
“Ada (persatuan) yang sudah mempunyai pasukan bayangan dan ada yang masih berlatih.
“Atlet terbaik akan dipilih berdasarkan pemilihan yang telus,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Terdahulu, beliau mempengerusikan Sesi Dialog MSNS bersama Persatuan-persatuan Sukan bagi menghadapi Sukma 2012.
Hadir sama ialah Pengarah MSNS Francis Nyurang Ding, Timbalan Pengarah MSNS Frederick Tan dan Penolong Pengarah MSNS Abdul Muktalib Mohd.
Selain itu, Lee berkata, perkembangan atlet juga akan dipantau dari semasa ke semasa untuk peningkatan pencapaian secara konsisten.
“Sukma kali ini dijangkakan mencabar.
“Banyak negeri sudah meningkat terutamanya Terengganu, Negeri Sembilan termasuk Pahang.
“Maka itu, kita perlu bekerja keras dalam mempersiapkan atlet,” katanya.
Sehubungan itu, Lee berkata, bajet tambahan akan disalurkan kepada persatuan-persatuan yang memerlukan agar dapat mempersiapkan atlet dengan baik.
Dalam pada itu, MSNS akan mengadakan program motivasi latihan untuk jurulatih di Miri dari 10 hingga 13 Februari ini.
Sukma 2012 Pahang menyenaraikan sebanyak 382 acara menerusi 24 jenis sukan dengan tawaran pingat emas dan perak masing-masing sebanyak 382 pingat, manakala gangsa 455 pingat.
Sementara itu, Lee berkata, tiga jaguh sukan akuatik Sarawak tidak dapat menyertai skuad negeri ke Sukma di Pahang kerana perlu menjalani latihan bersama skuad olimpik negara.
Beliau menjelaskan, Pandelela Rinong, Bryan Nickson Lomas dan Traisy Vivien Tuked telah dipilih mewakili negara ke Sukan Olimpik 2012 London yang dijadualkan berlangsung pada Ogos.
“Ini bermakna, kita kehilangan atlet akuatik yang berpotensi menyumbang pingat emas,” katanya.
Bagaimanapun, Lee berkata meskipun tanpa Pandelela, Bryan dan Traisy, skuad akuatik Sarawak masih mempunyai peluang cerah untuk meraih pingat emas.
“Peluang masih cerah kerana skuad akuatik kita mempunyai potensi untuk meraih emas,” kata Lee.
Akuatik menawarkan pingat emas terbanyak pada temasya Sukma 2012, Pahang iaitu sebanyak 48 pingat.
Read more: http://www.theborneopost.com/2012/02/09/sarawak-sertai-22-jenis-sukan/#ixzz1lrUYWgYI
No comments:
Post a Comment