Wednesday, January 4, 2012

Persediaan Skuad Terjun Terencat, Lewat Jalani Latihan Di China

KUALA LUMPUR - Persiapan skuad terjun negara menjelang Olimpik London terencat berikutan kelewatan menjalani latihan di China.

Skuad bimbingan Yang Zhuliang sepatutnya mula menjalani latihan intensif di negara tembok besar itu sejak bulan lalu, namun sehingga hari ini mereka masih lagi menanti lampu hijau.

Zhuliang menegaskan betapa penting anak-anak didiknya perlu berlatih di China dengan alasan kemudahan yang terdapat di Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil tidak cukup sempurna.

"Kami sepatutnya pergi ke China seawal bulan lepas, tetapi kami diminta menunggu kerana berlaku kekangan bajet.

"Masalahnya sampai hari ini, kami masih tidak pasti bila kami boleh berlepas.

"Masa sudah suntuk untuk kami memandangkan Piala Dunia akan berlangsung pada penghujung bulan Februari," ujarnya.

Jurulatih China itu menambah, skuad terjun tidak perlu kerap berlatih di China seandainya kemudahan sedia ada berada pada keadaan terbaik dan mengikut piawaian.

Zhuliang mengambil contoh keadaan papan anjal di Pusat Akuatik Nasional yang agak usang dan berbahaya, manakala platform yang terlalu kecil untuk latihan terjun seirama dilakukan.

"Untuk Pandelela (Rinong) dan (Leong) Mun Yee mencapai persembahan seperti ini biarpun berlatih dalam keadaan serba kurang sudah boleh membanggakan.

"Mereka akan mampu meningkatkan prestasi ke satu lagi tahap jika berkesempatan berlatih dengan lebih sempurna," kata Zhuliang.

Menambah kebimbangan Zhuliang ialah keadaan trampolin yang menjadi tempat anak didiknya melakukan latihan lompatan.

Empat daripada enam trampolin yang disediakan di gimanasium sudah koyak dan kerosakan itu hanya 'ditangani' dengan tampalan.

"Ia membahayakan dan tidak sesuai lagi digunakan. Saya tidak tahu berapa lama tampalan itu bertahan, saya khuatir ada yang cedera kelak.

"Saya berharap ia ditukar secepat mungkin.

"Sukan terjun disenarai dalam program Road to London dan menjadi prospek pingat... saya percaya anak buah saya telah memberikan segalanya, terpulang kepada Majlis Sukan Negara (MSN)," keluhnya.

No comments:

Post a Comment