Oleh TAN MING WAI
tan.mingwai@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Penerjun muda negara, Jasmine Lai Pui Yee mengakui dia berasa kecewa dinafikan peluang untuk membuat penampilan sulung pada Sukan SEA Indonesia baru-baru ini.
Jasmine, 16, disenaraikan dalam skuad 11 penerjun yang menyapu tujuh daripada lapan emas dipertandingkan, namun pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu menjadi satu-satunya penerjun yang tidak diturunkan.
Jasmine sepatutnya turun beraksi dalam acara 10m papan anjal seirama bersama rakan segandingan, Kam Ling Kar.
Namun keputusan itu diubah pada saat akhir menyaksikan pasangan muda tersebut digantikan oleh Leong Mun Yee dan Traisy Vivien Tukiet.
"Memang saya berasa sedih selepas mengetahui saya tidak akan diturunkan.
"Saya datang ke Palembang dengan semangat berkobar-kobar dengan sasaran untuk memungut pingat pertama Sukan SEA, namun ia berakhir dengan saya sekadar menjadi penonton.
"Tetapi saya akur dengan keputusan jurulatih dan dia mesti ada sebab tersendiri untuk berbuat demikian," kata Jasmine yang bertekad berusaha lebih gigih untuk membuktikan kemampuannya pada pertandingan akan datang.
Berbeza nasib dengan kawan karibnya, Ling Kar, bagaimanapun berjaya merealisasikan hasratnya untuk membuat kemunculan pertama Sukan SEA yang mana dia berjaya meraih perak bagi acara 10m platform individu wanita.
"Ia satu pengalaman baru bagi saya dan kejayaan membawa pulang pingat perak (tewas kepada Pandelela Rinong) menjadikan ia lebih sempurna," katanya.
Kejayaan pada Sukan SEA, kata gadis kelahiran Ipoh yang juga berusia 16 tahun itu, mahu dijadikan sebagai batu loncatan untuk kariernya selepas ini.
"Saya masih tidak cukup bagus. Terjunan saya masih berada pada darjah kesukaran (DD) rendah dan saya harus menumpukan latihan terjunan baru dengan DD lebih tinggi jika ingin pergi jauh dalam bidang ini.
"Saya bercita-cita menjadi sehebat dua penerjun sensasi China, Guo Jingjing dan Wu Minxia yang saya masih belum berkesempatan berjumpa lagi mereka," katanya dalam nada merendah diri.
Jasmine dan Ling Kar merupakan permata baru yang sedang digilap Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) sebagai pengganti kepada penerjun veteran seperti Mun Yee yang dijangka bersara dalam tempoh terdekat.
Pada peringkat remaja, mereka berdua telah pun membuktikan kemampuan masing-masing, misalnya Kejohanan Kumpulan Umur Asia pada Oktober lalu apabila mereka membawa pulang tiga pingat emas.
Terdahulu pada Ogos lalu, mereka juga membolot tiga daripada enam emas yang dipungut negara pada kejohanan jemputan Remaja Asia- Pasifik.
No comments:
Post a Comment