


WIRA NEGARA...gelagat Pandelela bersama pingat emas dimenangi, semalam.
TAHUN 2010 merupakan tahun gemilang buat Pandelela Riong. Selepas memenangi dua pingat perak di Sukan Olimpik Remaja di Singapura dan pingat perak 10 meter platform berpasukan bersama Leong Mun Yee, kelmarin, anak gadis berasal dari Sarawak ini mencipta sejarah memenangi pingat emas pertama dalam acara terjun buat negara, semalam.
Pandelela mencatatkan 371.05 mata untuk memenangi pingat emas, mengatasi Melissa yang mengumpul 369.5 mata dengan hanya 1.55 mata. Seorang lagi peserta Australia, Alexandra Croak memenangi pingat gangsa dengan 355.4 mata.
Apapun, Pandelela menafikan logik akal di Kompleks Akuatik Dr SPM apabila menggunakan terjunan terakhirnya untuk memintas pendahulu sejak awal, Melissa Wu dari Australia selepas pada satu ketika berada di tempat kelima.Kesilapan terjunan kedua yang mencatatkan hanya 58.05 mata bagaimanapun nyaris melenyapkan misi memburu pingat selepas mengungguli pusingan kelayakan di sebelah pagi.
“Saya tak pasti apa yang berlaku tapi tetap yakin mampu bersaing merebut pingat. Bagaimanapun, saya tak sangka berjaya pula merangkul pingat emas,” katanya.Jurulatih, Yang Zhuliang berkata, Pandelela tidak tenang menyebabkan pelaksanaan terjunan agak kekok.
“Biasanya, dia mencatatkan purata 9.5 mata untuk terjunan itu. Namun, saya nasihatkannya supaya tidak menyerah kalah dan terus berusaha kerana sejak awal kami yakin dia berpeluang menang pingat emas,” katanya.Selepas itu Pandelela mempamerkan kematangan untuk merapatkan kedudukan dengan Melissa yang pada satu ketika mendahului 15 mata di depan penerjun negara itu.
Menjelang terjunan terakhir, Melissa hanya mendahului 0.05 mata di depan Pandelela.Tekanan nyata tidak mengganggu tumpuan Pandelela dan berjaya mencatat 81.6 mata berbanding Melissa yang mencatatkan 80 mata.
“Saya agak gementar sebelum terjunan terakhir tapi memilih menurut nasihat jurulatih untuk menumpukan perhatian pada terjunan peribadi dan mengetepikan pencapaian lawan.“Sebaik sahaja mencecah ke air, segala keraguan lenyap dan saya percaya pingat emas milik saya dan ia disahkan markah yang diberikan juri.Pingat emas ini saya dedikasi kepada ibu, ayah dan keluarga yang sentiasa memberi galakan dan sokongan serta jurulatih yang tidak pernah putus memberi nasihat,” katanya lagi.Seorang lagi peserta negara, Traisy Vivien Tukiet, 16, menamatkan saingan di tempat kesembilan dengan 310.65 mata.
No comments:
Post a Comment