
SEPANG -- Dua pingat perak Sukan Olimpik Remaja Pertama di Singapura baru-baru ini, melonjakkan keyakinan puteri terjun negara, Pandelela Rinong untuk menyasarkan sebutir pingat tanpa mengira warna Sukan Komanwel Delhi, Oktober ini pula.
Malah, penuntut tingkatan lima Sekolah Sukan Bukit Jalil ini menyedari sebarang pencapaian cemerlang di ibu kota India itu akan mematangkan persembahannya apabila ke Sukan Asia Guangzhou, November depan.
"Saya sasarkan tiga tempat teratas Sukan Komanwel dan mungkin pengalaman di situ mampu disandarkan untuk turut menyaingi penerjun China, yang menjadi pilihan utama pingat dan lebih kuat," katanya sekembalinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, semalam.
Turut membanggakan ialah semangat juangnya dalam menyumbangkan hadiah awal Hari Kemerdekaan negara ke-53 dengan dua perak acara 10 meter platform dan 3m papan anjal Olimpik Remaja di sebalik keperitan kecederaan belakang leher.
"Masih ada rasa sakit leher ketika bertanding, tetapi saya menganggap dua perak ini layak ditujukan buat keluarga, rakan sekolah dan seluruh rakyat Malaysia sempena Hari Kemerdekaan (Selasa ini)," kata anak jati Kuching, Sarawak berusia 17 tahun ini.
Bagaimanapun, Pandelela terpaksa melangkaui sesi awal peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana memikul tugasan negara di Guangzhou dan hanya mampu mendudukinya selepas menghabiskan acara pilihannya.
"SPM akan bertembung dengan Sukan Asia, tetapi saya mendapat kebenaran mengambil peperiksaan Agrotat (yang setaraf SPM) bagi mata pelajaran yang dijadualkan awal," katanya yang mendapat bimbingan Yang Zhuliang dan Huang Qiang dari China.
Ketua Kontinjen negara, Lim Keng Liat berkata, keseluruhannya atlet remaja negara menunjukkan prestasi yang tidak kurang hebat, walaupun cuma pulang dengan dua pingat.
"Dalam acara lompat tinggi, S. Navinraj mara ke pusingan akhir, Amirul Shafiq Jais (pelayaran) meraih tempat ketujuh manakala Sonya Chiah dan Low Wei Sheng ke suku dan separuh akhir badminton,'' katanya.
"Dalam acara lompat tinggi, S. Navinraj mara ke pusingan akhir, Amirul Shafiq Jais (pelayaran) meraih tempat ketujuh manakala Sonya Chiah dan Low Wei Sheng ke suku dan separuh akhir badminton,'' katanya.

Pandelela Rinong (kiri) menunjukkan pingat perak yang dimenanginya pada Sukan Olimpik Remaja di Singapura, ketika tiba di KLIA, Sepang, semalam. - UTUSAN/ASWAD YAHYA
No comments:
Post a Comment