Tuesday, June 15, 2010

Sukma: Kah Yan Terus Cemerlang




Raih tiga emas dan satu rekod kejohanan acara renang KAH Yan bersama tiga pingat emas yang dimenanginya di Pusat Akuatik Hang Jebat, semalam.
CHAN Kah Yan semakin hampir untuk dijulang selaku ratu renang Sukan Malaysia (Sukma) XIII apabila meraih tiga pingat emas dan satu rekod kejohanan di Pusat Akuatik Kompleks Hang Jebat, semalam sekali gus membuktikan keputusannya menangguhkan pengajian selama setahun untuk memberi tumpuan kepada sukan ini, berbaloi. Perenang berusia 18 tahun dari Wilayah Persekutuan itu, yang mengejar kedudukan dalam skuad renang kebangsaan ke Sukan Komanwel di New Dehli, Ogos ini, tidak menunjukkan tanda kepenatan walaupun terpaksa turun ke kolam renang sebanyak tiga kali berselang hanya beberapa minit. Tiga emas yang menangi semalam, menjadikan jumlah keseluruhan empat emas diraih perenang itu setakat ini.

“Memang penat. Saya hanya sempat menyejukkan badan hanya 15 minit,” kata Kah Yan. “Rekod baru ini memang mengejutkan kerana saya tidak menjangka mampu memenangi pingat emas.”

Kah Yan memulakan tuaian emas melalui acara 200m kuak lentang dengan catatan 2 minit 24.87 saat sebelum turun ke kolam untuk cara kedua 100 meter gaya bebas.

Dia membuktikan kekuatannya dalam acara itu dengan rekod baru kejohanan 58.10 saat, memadamkan catatan lama 58.14 saat milik perenang Sabah, Leung Chii Lin, yang dilakukan pada temasya XII, sebelum memenangi emas ketiganya dalam acara 200 meter rampaian individu dengan kepantasan dua minit 24.94 saat.

Wilayah Persekutuan turut mendominasi kolam renang apabila menambah dua lagi pingat emas dalam acara lelaki melalui Ian James Barr dalam 200m rampaian individu dengan rekod baru kejohanan 2:08:09s dan Melvin Chua, 200m kuak lentang dalam masa 2:07.81s, bagi keseluruhan lima emas dimenangi kontinjen itu.

Tiga lagi pingat emas dikongsi oleh perenang Selangor, Foo Jian Beng dalam 100m gaya bebas lelaki, Chi Chia Khian dari Kedah (50m kupu-kupu lelaki) dan Marellyn Liew dari Sabah melalui acara 50m kupu-kupu wanita.

No comments:

Post a Comment