Thursday, June 17, 2010

Kah Yan Tutup Tirai Dengan Tujuh Emas

Chan Kah Yan ceria mempamerkan tujuh pingat emas dan dua perak yang dimenanginya dalam pelbagai acara renang pada Sukan Malaysia di Pusat Akuatik Hang Jebat, Krubong, semalam.




MELAKA - Perenang kebangsaan, Chan Kah Yan menutup tirai kejohanan renang Sukan Malaysia (Sukma) XIII dengan cemerlang selepas berjaya mengutip emas ketujuhnya di temasya ini dengan meraih dua lagi emas di Pusat Akuatik Hang Jebat, di sini, semalam.

Layak untuk bergelar ratu renang, Kah Yan yang mewakili Wilayah Persekutuan melengkapkan koleksi pingat emasnya pada hari terakhir kejohanan itu menerusi acara 100m kuak lentang individu wanita dan 4x100m rampaian berganti wanita.

Lebih manis, kejayaan itu turut membuatkan perenang berusia 18 tahun itu muncul sebagai atlet wanita yang memungut emas tertinggi berserta dua perak pada Sukma edisi ke-13 setakat ini.

Kah Yan sebelum ini meraih emas menerusi acara 100m gaya bebas, 200m gaya bebas, 200m kuak lentang, 200m rampaian individu, 800m gaya bebas daripada 11 acara yang disertainya.

Menurut perenang yang hanya meraih satu emas dan enam perak pada Sukma Terengganu 2008, dia amat terkejut dengan pencapaiannya itu selain gembira dapat memperbaiki prestasi dirinya.

''Ini memang satu kejutan yang besar buat saya dan saya amat gembira selepas mampu membuat kemunculan semula yang baik selepas memberi tumpuan terhadap peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tahun lalu," katanya.

Dia yang mencatat masa 1:05.83s untuk meraih emas dalam acara 100m kuak lentang meninggalkan Loo Hei Di dari Selangor (1:08.30s) yang membawa pulang perak ketika Cheng Karmen dari Perak pula sekadar berpuas hati dengan gangsa (1:09.31s).

Sementara itu, perenang elit kebangsaan dari Perak, Kevin Yeap Soon menyaksikan kehebatannya selepas berjaya meraih emas dalam acara 1500m gaya bebas individu lelaki (15:59.08s) sekali gus memecahkan rekodnya sendiri (16:07.71s) di Sukma Terengganu dua tahun lalu.

Di samping itu, seorang lagi perenang elit kebangsaan Ian James Barr dari Wilayah Persekutuan mengungguli acara 100m kuak lentang individu lelaki untuk merangkul emas dengan catatan masa 59.55s.

Ian sekali lagi berjaya mengutip emas keduanya semalam menerusi acara 4X100m rampaian berganti lelaki hasil gandingan mantap kuartet yang turut dibarisi Melvin Chua, Kevin Lim dan Joshua Lee dengan merakamkan masa 3:58.72s.

Dalam acara 50m gaya bebas individu wanita pula, Chui Lai Kwan (Sabah) mencatatkan masa 26.56s untuk meraih emas, manakala Foo Jian Beng (Selangor) mengakhiri saingan 50m gaya bebas individu lelaki dengan mencatat 23.68s bagi tempat pertama.

No comments:

Post a Comment