Friday, April 23, 2010

Perenang Kebangsaan Ungguli Kejohanan


KUALA TERENGGANU - Dua perenang kebangsaan mengungguli Kejohanan Kapas-Marang International Swimathon 2010 di Pantai Peranginan Kelulut, Marang.

Perenang Perak, Kevin Yeap Soon Choy muncul juara keseluruhan kategori lelaki selepas menjadi peserta pertama yang berjaya menamatkan saingan pada jarak 6.5 kilometer dengan catatan masa satu jam 33 minit 33 saat.

Sementara, perenang wanita dari Sabah, Leung Chii Ling dinobatkan juara keseluruhan wanita dengan mencatat masa satu jam 33 minit 35 saat. Kedua-dua perenang berkenaan adalah pemegang pingat perak pada Sukan SEA di Laos, Vietnam, tahun lalu.

Seorang lagi perenang wanita kebangsaan, Lai Mei Juan sekadar menduduki tangga kedua keseluruhan dengan catatan masa satu jam 37 minit 13 saat.

Kevin berkata, walaupun baru pertama kali menyertai pertandingan itu, dia yakin mampu memenangi kategori 20 hingga 34 tahun tetapi tidak menyangka muncul juara keseluruhan. “Saya berdepan saingan sengit dan keadaan ini hampir melemahkan semangat saya merangkul kejayaan. “Namun, dengan semangat berkobar-kobar, saya cuba menamatkan saingan dan menjadi peserta pertama sampai ke garisan penamat,” katanya.

Menurutnya, kejayaan itu adalah petunjuk terbaik buatnya mewakili negara pada sesi kelayakan ke Sukan Komanwel kelak. “Saya harap kejayaan ini turut membakar semangat saya beraksi cemerlang. “Sebenarnya, berenang di laut berbeza dengan kolam renang kerana ia banyak menguji keupayaan fizikal dan mental berikutan terpaksa mengharungi ombak besar serta arus deras,” katanya.

Sementara itu, Mei Juan pula berkata, pada mulanya dia menyertai pertandingan hanya sekadar suka-suka kerana tidak mempunyai pengalaman dalam acara berkenaan. “Saya hanya menjangka memenangi kategori wanita 20 tahun ke atas tetapi dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

“Pencapaian ini memberi saya peluang membuat persiapan awal menghadapi Sukan Komanwel,” katanya.

Seramai 300 peserta daripada 12 negara mengambil bahagian pada perlumbaan berkenaan, antaranya Australia, Kanada, Denmark, Jepun, Jerman, United Kingdom, Vietnam dan Netherlands. Sebanyak 10 kategori dipertandingkan dengan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM44,500.

No comments:

Post a Comment